Friday 4 November 2011

BAGAIMANA SOLAT ITU DIKATAKAN KHUSYU'..?


Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, dia sangat wara' dan sangat khusyu' sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyu' dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyu'.


     Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya : "Wahai Abu Abdurahman (Nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?"


     Berkata Hatim : "Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwudhu' zahir dan batin."


     Bertanya Isam : "Bagaimana wudhu' batin itu?" Berkata Hatim : "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :


             * Bertaubat.


             * Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.


             * Tidak tergila-gila dengan dunia.


             * Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia.


             * Meninggalkan sifat bermegah-megahan.


             * Meninggalkan sifat khianat dan menipu.


             * Meninggalkan sifat dengki."


     Seterusnya Hatim berkata  : "Kemudian aku pergi ke masjid, ku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada dibelakangku. Dan ku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyangku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku (kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang aku faham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu' (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku sembahyang selama 30 tahun.

      Apabila Isam mendengar menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.
Daisypath Happy Birthday tickers