Saturday 5 November 2011

SI MUNAFIQ YANG BERJUBAH


Abdullah bin Ubai dikenali sebagai pemimpin kaum munafiq. Sebagai seorang munafiq perkataannya selalu mengelirukan umat Islam. Mengumpat, berbohong dan menyebar fitnah adalah aktiviti yang dilakukannya bersama kaumnya. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Sahabat Radhiallahu 'Anhum sangat mengetahui siapa Abdullah bin Ubai itu, dan apa yang selalu dilakukannya terhadap umat Islam. Banyak yang tidak suka dengan perangai Abdullah bin Ubai ini.

    Suatu hari diakhir hayatnya, Abdullah Bin Ubai ditimpa sakit kuat. Dengan bibir gementar yang semakin membiru, Abdullah Bin Ubai meminta kepada anaknya agar dipanggilkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dia ingin didoakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Abu Abas Radhiallahu  'Anhu yang menyaksikan peristiwa itu menyangka bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mustahil mahu datang menemui tokoh munafiq tersebut. Ternyata apa yang disangkakan Abu Abas Radhiallahu 'Anhu tidak terjadi. Tiba-tiba Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam datang bersama Saidina Umar Al-Khattab Radhiallahu 'Anhu. Kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Abdullah bin Ubai memohan agar baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersedia melepaskan jubahnya dan menyelimuti dengan jubah tersebut. Kalau pun dengan berselimut jubah itu tidak juga menyembuhkan penyakitnya, Abdullah masih berharap biarlah dia mati dengan berselimutkan jubah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dengan penuh kasih sayang, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menunaikan permintaan Abdullah bin Ubai. Sehingga akhirnya Abdullah meninggal dunia dalam penderitaan dan kesakitan di bawah jubah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

     Peristiwa itu membuat Saidina Umar Radhiallahu 'Anhu tertanya-tanya. Dia tidak menyangka Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan membuat sejauh itu terhadap ketua munafiq yang telah banyak menabur fitnah dan perpecahan dikalangan umat Islam. "Alangkah beruntungnya Abdullah bin Ubai, dia meninggal dunia dengan berselimutkan jubah baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang suci. Para sahabat Radhiallahu 'Anhum yang setia pun belum tentu mendapat keistimewaan itu" kata Saidina Umar Radhiallahu 'Anhu.

     Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tersenyum penuh ke'arifan dan kasih sayang. Dengan suara yang lembut, baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam memberitahu Umar Radhiallahu 'Anhu: "Sahabatku Umar, sesungguhnya jubah Rasulullah tidak akan menyelamatkan Abdullah bin Ubai atau siapa sahaja sebab manusia hanya diselamatkan oleh iman dan taqwa masing-masing."

     Ucapan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu meninggalkan kesan yang dalam pada diri Abu Abbas Radhiallahu 'Anhu dan Umar Radhiallahu 'Anhu, dan ucapan itu perlu menjadi ingatan bagi umat sepanjang zaman. Abu Abbas Radhiallahu 'Anhu kembali mengingati sikap Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika menyertai beberapa peperangan. Dalam keadaan kalah ataupun menang sikap Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tetap istiqamah. Ketika kalah baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak dendam dan ketika berjaya baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak mengganas, bahkan mengingatkan satu peringatan, Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

     "Perangilah kerana Allah orang-orang yang memerangi kamu sahaja dan jangan kamu lakukan
                  dengan berlebihan kerana Allah tidak menyukai kamu yang melampaui batas"
                                                                (Al-Baqarah : 190)
Daisypath Happy Birthday tickers